Hentikan Diskriminasi Terhadap Pengidap HIV/AIDS

            Semakin hari semakin ramai yang menghidap penyakit HIV/AIDS. Penyakit ini masih belum dapat ditemui penawar yang boleh memulihkan penghidap sepenuhnya tetapi penawar untuk mengurangkannya sudah ada.

Menurut web Kementerian Kesihatan Malaysia, HIV (Virus Kurang Daya Tahan Melawan Penyakit) merupakan virus yang memusnahkan sistem imunisasi badan menyebabkan pesakit terdedah kepada pelbagai jenis penyakit dan kanser.

Manakala AIDS (Sindrom Kurang Daya Tahan Penyakit Akut yang Teruk) merupakan peringkat meruncing yang mana pesakit yang dijangkiti HIV mula menunjukkan jangkitan yang khusus atau sel-sel pertahanan badan turun sehingga 200/µl.

Virus terdapat dalam darah, semen, cecair badan, lelehan vagina dan susu ibu individu yang terkena jangkitan. Individu yang terkena jangkitan akan sentiasa membawa virus dan dapat memindahkan virus tersebut sepanjang hayat mereka.

HIV boleh merebak melalui darah yang telah dijangkiti HIV dan cecair badan seperti ketika melakukan hubungan seks, berkongsi jarum suntikan sesama penagih dadah atau daripada ibu yang mengandung kepada anak yang dikandung (sebelum atau ketika kelahiran atau melalui susu ibu).

Virus tidak boleh merebak melalui sentuhan biasa seperti tinggal serumah, atau pun bekerja bersama pembawa HIV. Sejak AIDS dilaporkan pertama kali pada tahun 1986 sehingga tahun 2010, sejumlah 91,362 kes jangkitan HIV berlaku dan 16,352 AIDS kes berlaku di Malaysia.

HIV adalah jangkitan berterusan yang serius. Komplikasi berlaku dengan melemahkan sistem imunisasi badan secara berterusan hingga menyebabkan pendedahan jangkitan dan kanser. Pada kanak-kanak, penyakit HIV akan menyebabkan pertumbuhan kanak-kanak terbantut bukan saja daripada segi fizikal malah perkembangan kanak-kanak itu sendiri.

Berikut pula merupakan kenyataan hasil kajian tajaan Synovate (M) Sdn Bhd pada tahun 2008;

"Kajian ini jelas menunjukkan stigma dan diskriminasi wujud dalam kalangan rakyat Malaysia yang hidup dengan HIV. Prejudis dan diskriminasi yang dilemparkan kepada mereka dan kumpulan serta komuniti yang terlibat dengan mereka akan mengakibatkan mereka disisih dan didiskriminasi masyarakat," kata Dr Soraya.

Dari perspektifku,

Majoriti penghidap HIV/AIDS berasa malu untuk bergaul dengan mereka yang normal kerana kebiasaannya penghidap HIV/AIDS ini dipulaukan oleh mereka yang normal kerana dianggap sebagai kotor, jijik dan mudah berjangkit.

Pemahaman tentang penyakit HIV/AIDS oleh kebanyakan yang normal masih cetek. Oleh itu sikap memulaukan mereka yang menghidap HIV/AIDS masih berleluasa. Pendidikan dan pengetahuan wajar didalami sebaik mungkin.

            Justeru entri kali ini, IniPerspektifku mahu mengajak semua agar membetulkan persepsi terhadap penghidap HIV/AIDS dengan memahami sedalamnya tentang jangkitan HIV/AIDS.

Bersumberkan web Unicef Malaysia, kita semua wajar mengetahui 10 fakta asas tentang HIV/AIDS agar diskriminasi terhadap penghidap penyakit tersebut dapat dihapuskan.

1- AIDS disebabkan oleh HIV.

AIDS disebabkan oleh HIV, yang merosakkan sistem pertahanan badan. Mereka yang mempunyai AIDS akan menjadi lemah disebabkan oleh badan mereka telah hilang keupayaan untuk menentang semua jenis penyakit. Mereka akhirnya akan meninggal dunia. Tiada (belum ada) penawar bagi HIV.

2- Bermulanya AIDS boleh mengambil masa sehingga sepuluh tahun.

Bermulanya AIDS boleh mengambil masa sehingga sepuluh tahun daripada jangkitan pertama virus HIV. Oleh itu seseorang yang telah dijangkiti HIV mungkin akan kelihatan dan rasa sihat untuk beberapa tahun, tetapi dia masih boleh menjangkiti orang lain dengan virus tersebut.

Ubat-ubatan yang terbaru boleh membantu seseorang itu kekal hidup dengan sihat untuk jangkamasa yang lebih lama, tetapi dia masih mempunyai HIV dan masih boleh menjangkiti orang lain.

3- HIV dipindahkan melalui cecair badan yang telah dijangkiti HIV.

HIV dipindahkan melalui pertukaran mana-mana cecair badan yang telah dijangkiti oleh HIV. Jangkitan boleh berlaku pada mana-mana peringkat jangkitan/penyakit. Virus HIV boleh didapati pada cecair-cecair berikut: darah, air mani (dan cecair sebelum ejakulasi), cecair faraj, dan susu ibu).

4- HIV selalunya dijangkiti melalui hubungan seks.

HIV selalunya dijangkiti melalui seks dengan pasangan yang positif HIV. Ini disebabkan oleh cecair yang bercampur dan virus boleh bertukar, terutama sekali apabila terdapat luka pada tisu-tisu faraj, kecederaan atau jangkitan-jangkitan yang didapati melalui seks (STI).

Budak perempuan adalah lebih terdedah kepada jangkitan HIV kerana selaput membran faraj mereka lebih nipis dan lebih senang untuk dijangkiti dibandingkan dengan wanita-wanita dewasa.

5- Mereka yang mempunyai jangkitan-jangkitan yang didapati melalui seks (STI) mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat jangkitan HIV.

Mereka yang mempunyai STI adalah berisiko tinggi untuk dijangkiti HIV dan menjangkiti orang lain. Mereka yang mempunyai STI patut mendapatkan rawatan secepat yang mungkin dan mengelakkan hubungan seks atau mengamalkan seks selamat (seks tanpa penembusan atau seks menggunakan kondom), dan memberitahu pasangan-pasangan mereka.

Risiko terhadap jangkitan HIV melalui seks boleh dikurangkan sekiranya mereka tidak melakukan seks. Hanya ada satu cara sahaja untuk memastikan pencegahan HIV melalui seks ialah dengan tidak melakukan seks langsung.

7- Mereka yang menyuntik diri sendiri dengan dadah mempunyai risiko yang tinggi dijangkiti dengan HIV.

HIV juga boleh dijangkiti apabila kulit tercedera atau dicucuk menggunakan jarum yang tidak steril picagari, pisau lipat, pisau atau lain-lain alat. Mereka yang menyuntik diri sendiri dengan dadah atau melakukan seks dengan pengguna-pengguna dadah adalah berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan HIV terutamanya kongsi jarum sesama penagih dadah.

8- Hubungi pegawai kesihatan atau pusat HIV/AIDS untuk mendapatkan kaunseling dan ujian.

Sesiapa yang mensyaki yang mereka mungkin telah dijangkiti HIV patut menghubungi pegawai kesihatan atau pusat HIV/AIDS untuk mendapatkan kaunseling dan ujian secara sulit.

Ia adalah hak anda. (Artikel 24 daripada Konvensyen Hak-hak Asasi Kanak-kanak).

9- HIV tidak boleh dijangkiti melalui sentuhan.

HIV tidak boleh dijangkiti melalui: pelukan, berjabat tangan; hubungan yang biasa setiap hari; menggunakan kolam renang, tempat duduk tandas; berkongsi kain alas katil, peralatan makanan, makanan; nyamuk dan lain-lain gigitan serangga; batuk, bersin.

10- Semua orang berhak untuk mendapatkan belas kasihan dan sokongan.

Mendiskriminasi terhadap mereka yang telah dijangkiti HIV atau sesiapa sahaja yang difikirkan mempunyai risiko untuk mendapat jangkitan telah melanggar hak-hak kemanusiaan dan juga membahayakan kesihatan umum.

 Semua orang yang dijangkiti dengan atau menghadapi kesan HIV dan AIDS berhak mendapatkan belas kasihan dan sokongan. (Artikel 2 daripada Konvensyen Hak-hak Asasi Kanak-kanak).           

Luaskan minda, hentikan diskriminasi,


            Berdasarkan 10 fakta asas tersebut, diharapkan lebih ramai yang mula meluaskan minda dan memahami penyakit HIV/AIDS. Oleh yang demikian, perang terhadap diskriminasi mampu dihapuskan dan para penghidap HIV/AIDS mudah menjalani kehidupan dengan lebih aman seperti yang lain.

0 comments :

Post a Comment

 
HAK ASASI MANUSIA Blog Design by Ipietoon