Jennifer, Beyonce dikecam buat konsert di Israel

Aktivis hak asasi manusia menggesa dua penyanyi AS Beyonce Knowles dan Jennifer Lopez memboikot Israel dengan membatalkan konsert yang bakal diadakan pada musim panas ini sebagai tanda simpati kepada Palestin.
Spekulasi konsert yang bakal berlangsung di Tel Aviv itu dilaporkan mendorong sekurang-kurang dua petisyen atas talian dilancarkan semalam.
Media antarabangsa melaporkan Evan Greer - aktivis yang melancarkan kempen Tell Beyonce not to play apartheid Israel! - mengesahkan terdapat beberapa laporan yang menunjukkan pihak pengurusan Beyonce sedang dalam rundingan akhir untuk menjayakan konsert di Tel Aviv.
“Pihak pengurusan Beyonce diharap dapat membuat satu kenyataan umum untuk menjelaskan pembatalan konsert berkenaan dan mengeluarkan kenyataan sokongan kepada rakyat Palestin,” katanya.
Kata Greer, isu yang ditimbul itu bukan sesuatu yang baru.
Malah, katanya, pemuzik disegani seperti Elvis Costello, The Pixies, Carlos Santana dan Gil Scott-Heron juga pernah membatalkan konsert mereka untuk menunjukkan tanda sokongan dan menyertai gerakan memboikot Zionis.
“Apabila ada artis terkemuka membatalkan persembahan, tentu ia menarik perhatian masyarakat antarabangsa khususnya apabila membabitkan wilayah Palestin yang dijajah," katanya.
Dalam kes Beyonce, ramai mengkritik sikap hipokrit selebriti berdarah kacukan Amerika Afrika itu.
Lagu terbaru Beyonce, Formation, memaparkan klip video yang memberi sokongan kepada gerakan kesaksamaan masyarakat kulit hitam AS, Black Lives Matter.
Bagaimanapun, sehingga kini, pihak pengurusan Beyonce belum membuat sebarang kenyataan berhubung dakwaan berkenaan.
Pun begitu, pengguna media sosial seperti Twitter mula melancarkan perang boikot Israel dan menyokong tindakan itu dengan menggunakan hashtag #canceltelaviv sejak tiga hari lalu.
Kesimpulan:
Tindakan yang dilakukan oleh dua orang penyanyi ini adalah sesuatu tindakan yang betul dimana mereka telah membatalkan konsert di Israel sebagai memboikot zionis dan sebagai tanda sokongan kepada rakyat Palestin. Ini boleh dijadikan sebagai contoh kepada masyarakat lain dalam isu menyokong hak asasi manusia yang sebenarnya.

Sumber: https://www.malaysiakini.com/hiburan/330201

Kementerian Luar: Tiada asas dalam laporan hak asasi Amerika


Kementerian Luar membidas Jabatan Negara Amerika Syarikat yang dalam laporannya menyenaraikan dasar mengutamakan orang Melayu oleh kerajaan Malaysia sebagai antara pelanggaran hak asasi manusia di negara ini.
Dalam satu kenyataan hari ini, Kementerian Luar berkata, Laporan Amalan Hak Asasi Manusia 2015, yang dikeluarkan oleh Setiausaha Negara Amerika Syarikat John Kerry adalah berdasarkan maklumat yang tidak berasas dan sebahagian besarnya bergantung pada sumber-sumber yang objektivitinya boleh dipersoalkan.
“Kerajaan Malaysia kesal bahawa dakwaan yang terkandung dalam laporan berkenaan bersifat selektif dalam memberi gambaran yang negatif terhadap kerajaan Malaysia, serta tidak mengambil kira usaha-usaha kerajaan Malaysia dalam melindungi hak asasi manusia.
“Laporan tidak berasas Amerika Syarikat ini disediakan tanpa melibatkan konsultasi rasmi dengan pihak kerajaan, walaupun Malaysia dan Amerika Syarikat mempunyai hubungan dua hala yang baik.
Laporan itu, menurut Kementerian Luar, mencerminkan penilaian Amerika Syarikat yang berat sebelah berhubung perspektif kerajaan serta mengabaikan komitmen dan usaha kerajaan Malaysia berkaitan amalan hak asasi manusia di Malaysia.
“Amerika Syarikat terus mengabaikan hak kedaulatan Malaysia dalam menentukan hal ehwal dalamannya, yang mengambil kira keadaan sedia ada dan ancaman kepada masyarakatnya serta tanggungjawab kerajaan untuk melindungi keselamatan negara dan mengekalkan keamanan dan ketenteraman di negara ini.
“Malaysia amat menghargai hubungan dua hala yang progresif dan dinamik dengan Amerika Syarikat dan percaya bahawa hubungan tersebut mampu diperkukuhkan lagi sekiranya Amerika Syarikat memahami dengan jelas isu-isu domestik di Malaysia,” katanya.
Sambil menyatakan kerajaan Malaysia terus komited dalam memastikan kenikmatan kebebasan hak asasi, Kementerian Luar juga berkata kerajaan akan terus mengambil langkah-langkah yang sewajarnya bagi memastikan setiap rakyat menikmati kebebasan hak asasi tanpa menjejaskan hak orang lain atau ancaman kepada keselamatan dan kestabilan negara.
Laporan berkenaan yang dikeluarkan minggu lalu, menyatakan bagaimana dasar-dasar berasaskan kaum menyumbang kepada jurang perbezaan ekonomi melebar di kalangan masyarakat bumiputera.
Ia juga menamakan pendakwaan ke atas mereka yang tidak sehaluan, penahanan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana kes liwat pada Februari 2015 sebagai antara pencabulan hak asasi.
Laporan itu juga menyatakan bahawa terlalu kurang pemantauan berhubung keberkecualian polis, termasuk kematian atau penderaan dalam kes-kes tahanan.
Pelanggaran hak asasi manusia lain termasuk:
  • Pengharaman terhadap kumpulan agama, sekatan untuk murtad dan kebebasan menukar agama;
  • Penahanan tanpa bicara;
  • Rotan sebagai satu bentuk hukuman;
  • Rasuah di kalangan pegawai;
  • Keganasan dan diskriminasi terhadap wanita;
  • Diskriminasi terhadap lesbian, gay, biseksual, transgender dan masyarakat interseks;
  • Sekatan hak pendatang, termasuk pelarian dan mangsa pemerdagangan orang; dan
  • Sekatan ke atas aktiviti kesatuan dan perundingan kolektif.
Kesimpulan:
Tidak seharuslah jika ada pendakwaan daripada mana-mana negara yang mengatakan negara Malaysia mengabaikan hak asasi manusia apabila hak keistimewaan orang melayu menjadi keutamaan dalam perlembagaan. Pendakwaan tanpa usul periksa seperti ini dianggap seperti ingin memburukkan keadaan negara Malaysia dan ia haruslah diperbetulkan kerana Malaysia mengamalkan dasar perlindungan kepada semua rakyatnya tanpa ada berlaku sebarang jurang perkauman atau sesama masyarakat.  

Hak Asasi Kanak-Kanak (Dasar Perlindungan Kanak-Kanak Negara)



Kanak-kanak didefinisikan sebagai seseorang yang di bawah umur 18 tahun seperti yang termaktub dalam Akta Kanak-Kanak 2001.
  • Perlindungan kanak-kanak merujuk kepada strategi dan aktiviti untuk mencegah dan bertindak balas terhadap pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi terhadap kanak-kanak.
  • Pengabaian merujuk kepada kegagalan secara berterusan dan serius untuk menyediakan keperluan asas fizikal, emosi dan pembangunan dari segi kesihatan, pendidikan, perkembangan emosi, nutrisi, tempat perlindungan dan kehidupan yang selamat untuk kanak-kanak kepada segala bentuk bahaya, termasuk mengancam nyawa mereka.
  • Penderaan kanak-kanak adalah satu pencabulan atau pelanggaran yang serius terhadap hak kanak-kanak untuk berkembang dalam keadaan sihat dan bermaruah di samping menyebabkan risiko dalam kelangsungan hidup mereka. Penderaan boleh dikategorikan kepada penderaan fizikal, emosi, seksual dan pengabaian.
  • Penderaan fizikal menurut Akta Kanak-Kanak 2001 adalah apabila seseorang kanak-kanak dicederakan dari segi fizikal menyebabkan kecederaan yang boleh dilihat pada mana-mana bahagian tubuh kanak-kanak itu akibat kekerasan atau penggunaan agen yang disengajakan kepada tubuh kanak-kanak itu.
  • Penderaan emosi menurut Akta Kanak-Kanak 2001 adalah apabila seseorang kanak-kanak dicederakan dari segi emosi yang menyebabkan gangguan yang boleh dilihat pada fungsi mental atau emosi kanak-kanak itu seperti kecelaruan mental atau tingkah laku, keresahan, kemurungan, penyendirian dan perkembangan lambat.
  • Penderaan seksual menurut Akta Kanak-Kanak 2001 adalah apabila seseorang kanak-kanak teraniaya dari segi seks jika dia mengambil bahagian, sama ada sebagai peserta atau pemerhati, dalam apa-apa aktiviti yang berunsur seks bagi apa-apa maksud atau eksploitasi seks oleh mana-mana orang bagi memuaskan nafsu seks orang itu atau orang lain.
  • Keganasan merujuk kepada sesuatu tindakan dengan niat untuk menyebabkan sebarang bentuk kecederaan dari segi fizikal dan emosi terhadap kanak-kanak.
  • Eksploitasi merujuk kepada penggunaan kanak-kanak dalam aktiviti yang membolehkan pihak lain mendapat faedah dari segi kewangan, seksual, politik serta kepentingan lain yang boleh mengancam kesejahteraan fizikal dan psikologikal mahupun kelangsungan hidup kanak-kanak.

Kesimpulan:

Melihat daripada kes-kes kematian kanak-kanak yang berlaku  dan semakin meningkat, sebagai contoh, penculikan dan pembunuhan Siti Soffea Emelda Abdullah yang berusia 2 tahun dan juga Nurul Emielda Nadia Sallehuddin yang mati mengejut setelah bermain berhampiran eskalator. Bagi pendapat saya,  ya  perlu  dikenakan undang-undang yang lebih ketat ke atas ibu bapa yang mengabaikan kesejahteraan anak-anak mereka supaya keselamatan dan kebajikan kanak-kanak terjaga. Oleh itu, kerajaan perlu memainkan peranan memandangkan kes-kes yang berkaitan dengan kanak-kanak ini adalah serius. 


Hak Asasi Barat Dan Hak Asasi Islam

Masyarakat negara ini harus sedar akan wujudnya perbezaan hak asasi manusia yang ditulis oleh masyarakat Barat dengan hak asasi menurut tradisi Islam. 

Pandangan ini telah dinyatakan oleh Ahli Majlis Gabungan Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (ACCIN), Jamaludin Shamsudin yang menegaskan bahawa terdapat beberapa perkara dalam Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia (UDHR) yang diguna-pakai di peringkat antarabangsa tidak selari dengan agama Islam.

"Hak asasi manusia bukan monopoli pihak Barat sahaja. Tanggungjawab adalah penting, bukan semata-mata mendapatkan hak sahaja. Bagi umat Islam, hak asasi manusia mestilah selaras dengan hadis dan wahyu" - Jamaludin Shamsudin.
Contoh yang menjadi isu mengenai hak asasi ini, masih ingatkah kita isu pasangan warga Malaysia yang ditahan di Sweden atas tuduhan mendera anak mereka disebabkan tidak menunaikan solat. Bagi kita (umat Islam) ini bukan satu perkara yang pelik kerana sebagai orang Islam, kita perlu memenuhi tuntutan agama. 

Tiada apa yang boleh dilakukan mereka selain menghormati keputusan mahkamah di Sweeden itu walaupun kebanyakan kita tidak puas hati. Ini kerana mahkamah di Sweeden tidak menilai agama sebagai undang-undang dan cara hidup sekali gus menolak hujah anak-anak di bawah 12 tahun dibenarkan dipukul bertujuan mendidik.

Apatah lagi bagi pasangan itu di luar negara yang mana Islam terpinggir dan pergaulan bebas dan liberal adalah satu kebimbangan. Kebanyakan kita melihat tindakan mereka memukul anak-anak adalah satu keperluan untuk mendisiplinkan diri dalam menetapkan jati diri sebagai umat Islam.

Perkara itu bagaimanapun tidak diterima oleh masyarakat Barat yang melihatnya sebagai satu perbuatan yang kejam. Walhal dalam norma mana-mana masyarakat adakalanya ibu bapa perlu tegas kepada anak-anak dan terpulang kepada cara mereka mendidik.
Namun itu adalah cara Sweden merencanakan sesuatu yang dilihat bagi mereka serta mampu melindungi hak dan keperluan warganya. Dan sudah tentu jika mereka tidak nampak kebaikan Islam sebagai agama yang suci sudah tentu mereka tidak akan faham kenapa adakalanya kita dibenarkan tegas kepada anak-anak.




Apakah itu an·o·mie?

                                


Anomie dalam istilah mudah bermaksud kacau. Boleh juga disebut sebagai krisis nilai atau perbezaan antara ketidakpedulian dan pelanggaran terhadap kesepakatan sosial dalam sesebuah masyarakat. Anomie juga bermaksud adalah keadaan pengasingan dan kebimbangan yang berlaku akibat kekurangan kawalan sosial dan peraturan. Ini boleh berlaku sama ada peribadi atau Kumpulan tahap.


Emile Durkheim, ahli sosiologi Perancis abad ke-19 menggunakan istilah ini untuk menghuraikan sebab-sebab bunuh diri. Dia mentafsirkan bahawa keadaan atau kekacauan dalam diri individu menyebabkan mereka melakukan perbuatan itu.
Secara umumnya, anomie sangat umum terjadi apabila masyarakat sekitarnya mengalami perubahan-perubahan yang besar dalam situasi ekonomi. Sama ada semakin baik atau semakin buruk.
Lebih umum lagi ketika ada perbezaan besar antara teori dan nilai ideologi yang diamalkan dalam kehidupan sehari-hari. Banyak makna dan tafsiran yang diberikan oleh sarjana atau pengarang tentang istilah ini.
Ahli Sosiologi Amerika, Robert King Merton (1910-2003) mendefinisikannya sebagai perbezaan antara tujuan dan cara yang sah untuk mendapat tujuan tersebut.
Dengan kata lain, individu atau masyarakat yang mengalami anomie akan berusaha mencapai tujuan-tujuan di luar kebiasaan masyarakat. Jika tidak dapat mencapainya dengan sah kerana pelbagai halangan sosial, ia menyebabkan muncul perilaku menyimpang bagi memuaskan dirinya sendiri.
Friedrich A. Hayek (1899-1992) pula mendefinisikan anomie sebagai kekacauan psikologi masyarakat atau individu kerana tidak adanya peraturan sosial yang disepakati bersama.
Apa yang membimbangkan ialah keadaan ini akan memberikan kesan yang negatif yang boleh membawa kepada peningkatan kadar jenayah. Contoh seperti kes bunuh, rogol dan lain-lain lagi.


G25 patut bertaubat

Pembentukan kumpulan G25 oleh tokoh profesional Melayu telah diminta oleh  Mufti  Perak Tan Sri Dr Harussani Zakaria  supaya mereka bertaubat kerana cadangan mereka yang ingin meminda atau memansuhkan antikhalwat boleh membawa kepada murtad. Tindakan G25 itu merupakan ancaman kepada umat islam dan bertentangan dengan perlembagaan. 

Menurut Harussani, jika G25 berpendapat perbuatan khalwat adalah hak asasi manusia, hujah yang sama boleh digunakan untuk kesalahan lain seperti mencuri atau membunuh. Ditegaskan lagi, kumpulan ini bukan sahaja merosakkan agama, malah memecah-belahkan umat Islam. Perkara yang sepatutnya dilakukan oleh mereka  adalah membantu perkara-perkara yang membangunkan umat. Ini tidak terbawa-bawa sangat dengan budaya barat.  

G25 telah menyatakan mereka mahu jawatankuasa perunding ditubuhkan bagi membincangkan pindaan atau pemansuhan beberapa undang-undang syariah termasuk hukuman terhadap perbuatan berkhalwat yang didakwa melanggar hak kebebasan seseorang seperti termaktub di dalam perlembagaan. 

Dalam pada itu, Mufti Kelantan, Datuk Mohammad Shukri Mohammad berkata tindakan kumpulan tersebut mengangkat perjuangan hak privasi individu menggambarkan seolah-olah mereka membelakangkan hak yang lebih agung iaitu hak Tuhan. Dikatakan juga, kumpulan terbabit amat terpengaruh dengan liberal Barat dan bernostalgia kepada zaman penjajahan yang meminggirkan agama dan serta budaya tempatan. 



Kesimpulan:

Secara keseluruhan, cadangan yang diusulkan oleh kumpulan G25 adalah merupakan sesuatu yang boleh menyebabkan kepada peningkatan kes-kes khalwat. Sebagai contoh, di mana hubungan khalwat sesama pasangan yang bukan mahram boleh berlaku secara berleluasa jika cadangan itu dimansuh dan boleh memberikan kesan negatif juga kepada negara. Kumpulan ini sepatutnya memikirkan kepada pembangunan umat atau masyarakat dan perspektif dari segi agama juga perlu dipandang tentang hukum halal dan haram dalam islam supaya hak asasi manusia dapat dipelihara mengikut kaedah yang betul.



 
HAK ASASI MANUSIA Blog Design by Ipietoon